
Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sukma Selangor 2026 berkata perkara itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor dipengerusikan Menteri Besar Amirudin Shari, hari ini.
Menurutnya, selain seni bela diri tradisional kaum India itu, kerajaan negeri turut mencadangkan acara petanque dan muaythai juga dipertandingkan pada temasya terbabit.
“Bagaimanapun, sebarang keputusan berhubung cadangan itu tertakluk kepada persetujuan semua wakil-wakil negeri yang menganggotai Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukama yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
“Ia juga perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya pada atau sebelum 15 Ogos 2025,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, cadangan itu bukti dan komitmen Kerajaan Selangor untuk memperluaskan penyertaan serta memperkasakan pelbagai disiplin sukan bermula di peringkat akar umbi hingga ke peringkat kebangsaan.
“Pada masa sama, saya menyeru semua pihak menghentikan sebarang usaha mempolitikkan sukan dengan memainkan sentimen perkauman sempit dan jumud.
“Sukan medan perpaduan menyatukan rakyat Malaysia merentasi kaum, agama dan ideologi politik yang seharusnya diraikan dalam semangat kesukanan tulen dan inklusif,” katanya.
Selasa lalu, Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan Jawatankuasa Tertinggi Sukma dipengerusikan Yeoh memuktamadkan beberapa keputusan penting antaranya penambahan dua sukan wajib iaitu tinju dan sofbol, menjadikan keseluruhan 30 sukan wajib perlu dipertandingkan..
Empat sukan tambahan turut diluluskan iaitu catur, e-sukan, kriket dan kabaddi, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sukan kepada 34 jenis.
“Keputusan ini adalah muktamad dan tiada lagi rayuan penambahan akan dipertimbangkan, bagi memastikan penganjur mempunyai tempoh mencukupi untuk membuat persiapan rapi menjelang temasya yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah seluruh negeri (Selangor),” kata MSN.
Pengumuman itu menimbulkan kritikan oleh segelintir pihak kerana mengecualikan acara silambam.