Terjahan keras cetus rusuhan, 7 direman hingga Ahad

Terjahan keras cetus rusuhan, 7 direman hingga Ahad

Ketua Polis Hilir Perak Bakri Zainal Abidin berkata individu terlibat dikesan menerusi rakaman video dan nombor jersi.

Pergaduhan antara pemain Padang Tembak FC dan Jenderata FC dalam aksi Liga Integriti Hilir Perak 2025. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tujuh lelaki ditahan kerana merusuh ketika perlawanan bola sepak di Padang Speedy, Teluk Intan.

Ketua Polis Hilir Perak Bakri Zainal Abidin, berkata mereka berusia lingkungan 21 hingga 31 tahun ditahan sekitar 11.30 malam semalam di pekarangan IPD Hilir Perak, dengan semuanya mengaku terlibat.

Beliau berkata, rusuhan berlaku pada babak kedua perlawanan bola sepak Liga Integriti Hilir Perak 2025 antara Padang Tembak FC dan Jenderata FC.

Katanya, kekasaran mula berlaku separuh masa kedua apabila seorang pemain Padang Tembak FC melakukan terjahan keras terhadap pemain Jenderata FC, seterusnya mencetuskan pertelingkahan.

“Situasi menjadi tegang dan tidak terkawal apabila ada pemain ditumbuk, seterusnya mencetus pergaduhan fizikal besar-besaran membabitkan pemain kedua-dua pasukan.

“Dalam kekecohan itu, dua penonton lelaki dipercayai penyokong pasukan memanjat pagar dan memasuki padang dengan seorang daripadanya cuba menendang pemain, namun dibalas sehingga mencetuskan pergelutan antara pemain dan penonton,” katanya menurut Berita Harian.

Bakri berkata, keadaan semakin serius apabila pengurus pasukan menyerang pengadil tengah dengan satu tumbukan di bahagian rusuk.

“Semasa cuba meleraikan pergaduhan, pengadil tengah itu terjatuh ke atas padang dan beberapa pemain lawan turut menyerang pengadil lain secara fizikal.”

Katanya, semua suspek membabitkan pengurus pasukan serta pemain terbabit kejadian itu dikesan berdasarkan rakaman video dan nombor jersi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan semua direman sehingga Ahad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.