
Ketua Polis Bentong Zaiham Kahar, berkata kejadian berlaku sekitar 9 pagi ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke rumahnya di Subang Jaya.
Beliau berkata, suspek memandu kereta Honda City memandu secara berbahaya di Jalan Genting Highlands, termasuk kerap membrek secara mengejut dan menghalang laluan mangsa.
“Setelah mangsa berjaya memotong kereta dipandu suspek, suspek telah mengejar dan melanggar bahagian belakang kenderaan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Insiden berkenaan tular di media sosial hari ini.
Kedua-dua pemandu kemudiannya turun dari kenderaan dengan suspek secara tiba-tiba menumbuk muka mangsa. Zaiham berkata, suspek turut mencederakan bahagian leher mangsa.
Dua rakan mangsa yang berada di lokasi kejadian bertindak meleraikan pergaduhan itu.
Suspek kemudian ditahan IPD Bentong untuk membantu siasatan. Suspek direman empat hari dan dibebaskan semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah, selain Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara berbahaya.