
Mereka yang kedua-duanya berusia 13 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan bersama dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri, lapor Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar perempuan sebaya di tandas blok Tingkatan Enam sekolah berkenaan kira-kira 6.40 petang, 14 Julai lalu.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Manakala pertuduhan kedua pula, mereka didakwa mengurung mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan serta dibaca bersama Seksyen 34, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md Nor menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh tetapi peguam, N Nagarathan memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya masih bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh dan mengarahkan mereka tidak mengganggu mangsa sepanjang prosiding.
Majistret turut menetapkan sebutan semula kes pada 23 September.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu ditemukan dalam tandas sekolah dalam keadaan tangan dan kaki diikat menggunakan tali leher, manakala mulutnya disumbat sapu tangan.
Pelajar itu kemudian menerima rawatan di hospital kerana cedera ringan di tangan dan kaki, selain trauma akibat insiden itu.