‘Sedar kemampuan’, MIC tak tanding PRN Sabah

‘Sedar kemampuan’, MIC tak tanding PRN Sabah

Timbalan Presiden M Saravanan berkata keputusan dibuat selepas mengambil kira realiti politik dan kemampuan parti.

Timbalan Presiden M Saravanan berkata MIC sedar batas keupayaan dan tidak bercita-cita tinggi.
PETALING JAYA:
MIC mengesahkan tidak akan meletakkan calon pada PRN Sabah akan datang.

Timbalan Presiden, M Saravanan, berkata keputusan dibuat selepas mengambil kira realiti politik dan kemampuan parti.

“Kami sedar kemampuan atau batas keupayaan kami, jadi kami tidak bercita-cita tinggi,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas pendapat penganalisis politik yang menepis dakwaan Naib Presiden MIC T Murugiah, parti itu akan bertanding merebut kerusi DUN Sabah suatu hari nanti dengan merujuk landskap politik negeri yang rumit dan jumlah pengundi India terhad.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dan Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, MIC juga akan berdepan kesukaran untuk mengatasi skeptisisme sebagai parti Semenanjung.

Merujuk pada dominasi parti tempatan, Lee berkata MIC Sabah berada dalam persekitaran politik yang sesak dengan parti tempatan dan ia akan menyukarkan parti itu mendapat kerusi boleh dimenangi tanpa timbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakan kongsi yang berpotensi.

Saravanan juga mengakui kenyataan kedua-dua penganalisis terbabit.

“Saya amat setuju dengan Azmi dan Lee,” katanya.

Sementara itu, Murugiah ketika dihubungi berkata pihaknya tidak akan menuntut mana-mana kerusi pada PRN Sabah sebaliknya akan menyokong parti yang bersama mereka kelak.

“Kami di sana akan sokonglah, katalah kita bekerjasama sama ada BN, PN, Warisan atau mana-mana parti yang kita akan bersama nanti, maka kami akan minta ahli kami mengundi (calon tersebut),” kata ketua MIC Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.