
Saman itu difailkan Tuan Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS terhadap dakwaan Rafizi berhubung isu ‘kelulusan’ projek bernilai RM2 bilion selepas pembubaran Dewan Rakyat pada 2022.
Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Tuan Ibrahim memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Avinder Singh Gill bahawa plaintif dan defendan (Rafizi) telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah.
Perbicaraan sepatutnya berlangsung minggu ini.
“Berdasarkan perbincangan, plaintif (Tuan Ibrahim) bersetuju menarik balik tuntutan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula,” kata Yusfarizal.
Peguam Rafizi Azhar Arman Ali turut mengesahkan perkara itu kepada mahkamah. Beliau dibantu Nik Zarith Nik Moustapha dan Adi Zulkarnain.
Avinder kemudian merakamkan penghargaan kepada kedua-dua pihak kerana berusaha mencapai penyelesaian.
Dalam kenyataan bersama, Rafizi dan Tuan Ibrahim berkata mereka bersetuju menyelesaikan ‘salah faham’ itu demi kepentingan awam dan kestabilan politik.
Tuan Ibrahim memfailkan saman itu pada 2022 dengan mendakwa Rafizi telah memfitnahnya apabila menyatakan beliau meluluskan penganugerahan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion kepada sebuah syarikat berkaitan Umno selepas pembubaran Parlimen.
Rafizi sebelum ini mendakwa projek tebatan Sungai Langat adalah kontrak kedua diberikan kepada syarikat sama dalam tempoh enam bulan.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menafikan dakwaan itu dan mencabar Rafizi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sewaktu itu, Tuan Ibrahim memegang portfolio Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).