MTUC nafi setuju RUU Pekerja Gig, gesa tangguh pembentangan di Dewan Negara

MTUC nafi setuju RUU Pekerja Gig, gesa tangguh pembentangan di Dewan Negara

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor gesa kerajaan laksanakan sesi libat urus menyeluruh tanpa meminggirkan MTUC selaku pusat buruh kebangsaan.

baharin
Kamarul Baharin Mansor berkata MTUC sokong gesaan tangguh pembentangan RUU Pekerja Gig di Dewan Negara.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menafikan ia telah bersetuju dengan Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig, kata Setiausaha Agungnya Kamarul Baharin Mansor.

Kamarul berkata Majlis Am MTUC yang bermesyuarat Ahad lalu sebaliknya meminta pembentangannya di Dewan Negara petang ini ditangguhkan sehingga sesi libat urus mereka dengan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) selesai.

“Penangguhan ini wajib bagi memberi peluang kepada MTUC memberikan maklum balas terhadap draf RUU tersebut.

“MTUC percaya hanya RUU yang mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan mampu melindungi pekerja gig dengan adil dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata MTUC juga telah menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim meminta pembentangan RUU berkenaan di Dewan Negara, ditangguhkan.

RUU Pekerja Gig dirangka oleh Kesuma bertujuan mewujudkan kerangka undang-undang khusus bagi melindungi pekerja dalam sektor ekonomi gig.

Ia termasuk pemandu e-panggilan, penghantar makanan, pekerja bebas (freelancer), dan lain-lain yang tidak mempunyai hubungan majikan-pekerja secara tradisional.

Melalui RUU ini, kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan satu bentuk perlindungan minimum seperti caruman keselamatan sosial, insurans dan penyelesaian pertikaian, tanpa mengklasifikasikan mereka sebagai pekerja tetap.

Namun, pelbagai pihak termasuk persatuan penggiat gig dan kumpulan hak pekerja menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa peruntukan yang didakwa tidak cukup menyeluruh atau tidak berlandaskan realiti pekerjaan gig, selain isu kurangnya rundingan dengan pihak berkepentingan.

“Malaysia sebagai negara yang telah mengiktiraf Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 144 perlu mematuhi prinsip rundingan tiga pihak iaitu kerajaan, majikan (MEF) dan pekerja (MTUC) dalam penggubalan sebarang undang-undang berkaitan pekerjaan,” tegas Kamarul.

Konvensyen 144 ILO menekankan keperluan libat urus bersama organisasi pekerja dan majikan dalam apa-apa perbincangan dasar dan undang-undang buruh.

Kamarul turut merayu keterlibatan MTUC tidak dipinggirkan dalam penggubalan dasar penting seperti ini yang memberi kesan langsung kepada nasib ribuan pekerja gig di seluruh negara.

Beliau turut menyatakan kebimbangan sekiranya proses pembentangan RUU dilakukan secara tergesa-gesa dan di luar kelaziman Parlimen, ia boleh menjejaskan reputasi perdana menteri.

MTUC turut menyatakan sokongan terhadap gesaan gabungan persatuan e-panggilan dan p-panggilan yang sebelum ini turut menuntut penangguhan RUU tersebut.

“Jangan dibuai mimpi indah semasa merangka RUU ini.

“Kami mencadangkan pegawai kementerian turun padang menjadi penggiat e-panggilan atau p-panggilan selama seminggu bagi memahami realiti pekerjaan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.