
“Ia satu kelegaan,” katanya selepas pihak pendakwa menarik balik pertuduhan semasa prosiding mahkamah di Bankstown hari ini, lapor Australian Associated Press.
Namun, katanya, ‘ia masih jauh daripada keadilan.’
Thomas, 35, mengalami kecederaan pada mata semasa protes itu. Beliau ditangkap pada 27 Jun di luar SEC Plating, sebuah syarikat yang didakwanya mempunyai kaitan dengan pengeluaran bahagian jet pejuang Amerika Syarikat digunakan Israel. Syarikat itu menafikan dakwaan tersebut.
Dia berdepan satu pertuduhan kerana melawan ketika ditangkap dan dua lagi kerana mengingkari arahan bersurai.
Thomas mendakwa dia ditumbuk di muka oleh seorang pegawai polis ketika ditahan, menyebabkan kecederaan yang memerlukan pembedahan.
Dia kini merancang untuk menyaman pihak polis atas dakwaan pendakwaan berniat jahat dan serangan.
“Pertuduhan terhadap saya sepatutnya tidak dikemukakan,” katanya.
Peguamnya, Peter O’Brien, berkata kecederaannya masih serius dan menggesa pegawai yang terlibat didakwa.
Empat lagi penunjuk perasaan yang ditahan dalam perhimpunan sama masih berdepan prosiding mahkamah. Polis New South Wales berkata rakaman kamera badan menunjukkan tiada salah laku.
Thomas pernah bertanding sebagai calon Parti Greens menentang Anthony Albanese di kerusi perdana menteri Grayndler pada pilihan raya persekutuan lepas pada 3 Mei 2025.