Manfaat peluang wujud keamanan kekal di Gaza, gesa PM

Manfaat peluang wujud keamanan kekal di Gaza, gesa PM

Anwar Ibrahim berkata beliau mengalu-alukan laporan mengenai kemajuan dalam rundingan gencatan senjata di Gaza.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perkembangan terbaru rundingan gencatan senjata di Gaza memberi sinar harapan selepas penderitaan dan kemusnahan teruk di wilayah berkenaan. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak berkaitan agar merebut peluang ke arah mewujudkan keamanan yang menyeluruh dan berkekalan di Gaza, susulan laporan mengenai kemajuan rundingan gencatan senjata.

Anwar berkata perkembangan itu memberikan sinar harapan selepas berbulan-bulan penderitaan dan kemusnahan yang tidak tertanggung di wilayah berkenaan.

“Saya mengalu-alukan laporan mengenai kemajuan dalam rundingan gencatan senjata di Gaza.

“Setiap usaha bagi menamatkan keganasan dan melindungi nyawa orang tidak berdosa mesti dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut menegaskan semula solidariti penuh Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam menuntut keadilan, maruah dan penubuhan negara sendiri.

Media hari ini melaporkan bahawa kumpulan Palestin, Hamas, bersetuju dengan fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, sambil menghargai usaha yang turut digerakkan oleh Turki, Qatar dan Mesir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.