Ahli Parlimen gesa kerajaan bentang kertas putih reformasi bantuan, subsidi

Ahli Parlimen gesa kerajaan bentang kertas putih reformasi bantuan, subsidi

Wan Saiful Wan Jan mahu reformasi menyeluruh dilaksana bagi memastikan bantuan dan subsidi benar-benar sampai kepada golongan B40 dan M40 yang memerlukan.

Petrol 95
Kerajaan ketika ini melaksanakan reformasi subsidi termasuk menerusi Budi Madani RON95 (BUDI95) yang hanya layak dinikmati warga tempatan mempunyai lesen memandu sah.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen menggesa kerajaan membentangkan kertas putih reformasi sistem bantuan kebajikan dan subsidi yang menyeluruh di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata langkah itu penting kerana negara selama ini menanggung kos subsidi yang sangat tinggi dan tidak mampan untuk jangka panjang, meskipun penyasaran subsidi dijangka mampu menjimatkan berbilion ringgit.

Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful Wan Jan.

Menurutnya, kerajaan perlu memperincikan semula kriteria penyasaran supaya golongan B40 dan M40 yang benar-benar memerlukan dapat menikmati bantuan dan subsidi dalam jumlah yang lebih wajar, terutama ketika kos sara hidup dijangka terus meningkat.

“Usaha penyasaran mesti diteruskan, tetapi ia perlu disokong dengan semakan menyeluruh terhadap mekanisme sedia ada agar benar-benar berkesan,” katanya dalam satu kenyataan mengulas Belanjawan 2026.

Kerajaan ketika ini melaksanakan reformasi subsidi termasuk menerusi Budi Madani RON95 (BUDI95) yang hanya layak dinikmati warga tempatan mempunyai lesen memandu sah.

Warga asing pula perlu membayar harga tanpa subsidi.

Beliau mencadangkan semakan menyeluruh itu mencontohi pendekatan United Kingdom (UK) yang melaksanakan reformasi kebajikan secara besar-besaran bermula pada 2010 di bawah Menteri Iain Duncan Smith.

Reformasi itu, katanya, melahirkan sistem ‘Universal Credit’ yang menyatukan pelbagai bentuk bantuan dan subsidi ke dalam satu mekanisme terangkum, membolehkan rakyat memohon semua bentuk bantuan melalui satu permohonan sahaja.

“Berbeza dengan Malaysia, rakyat kita masih perlu berurusan dengan pelbagai agensi berasingan, masing-masing dengan proses dan birokrasi tersendiri. Ini menyukarkan golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Wan Saiful mencadangkan supaya Kertas Putih Reformasi Sistem Bantuan Kebajikan dan Subsidi dibentangkan tahun depan bagi mewujudkan sistem yang lebih efisien dan berkesan.

Beliau turut menggesa kerajaan mengekalkan pendekatan pemberian bantuan dan subsidi secara tunai terus kepada penerima layak, seperti yang diamalkan sejak 2012, kerana terbukti memberi manfaat tanpa melalui orang tengah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.