
Menterinya Johari Ghani berkata langkah itu penting bagi memastikan pengeluaran hasil dan pendapatan eksport negara tidak merosot akibat pokok sawit tua yang semakin kurang produktif.

“Apabila pokok sawit mencecah umur 24 atau 25 tahun, hasilnya semakin berkurang. Jika kita tidak melaksanakan tanaman semula, pengeluaran menurun dan akhirnya eksport serta pendapatan negara turut terjejas,” katanya selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pembentangan itu mengumumkan peruntukan RM120 juta bagi membela nasib pekebun kecil termasuk menampung sebahagian kos tanaman semula bagi menggantikan pokok tua.
Johari menjelaskan cabaran utama ketika ini ialah pekebun kecil tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menanggung kos tanaman semula yang tinggi.
Justeru, kerajaan akan menyalurkan bantuan dan geran bersasar untuk meringankan beban mereka.
“Ramai pekebun kecil tidak mampu meminjam duit untuk tanaman semula. Sebab itu kementerian akan membantu, supaya mereka boleh menggantikan pokok tua dengan yang baharu dan kekal produktif,” jelasnya.
Menurut beliau, meskipun jumlah bantuan sedia ada masih belum mencukupi, kerajaan komited menilai semula kadar sokongan serta menambah baik skim bantuan sedia ada bagi memastikan semua pekebun kecil menikmati manfaat secara menyeluruh.
“Kalau tanya saya, memang belum cukup. Tetapi kita sedar 27% ladang sawit di Malaysia milik pekebun kecil, jadi mereka tidak boleh diabaikan,” tegasnya.
Johari turut menekankan sektor kelapa sawit kekal menjadi tonggak utama eksport negara, dengan nilai eksport tahunan antara RM115 bilion hingga RM120 bilion, dan hampir RM110 bilion daripadanya kekal dalam ekonomi domestik.
“Hasil sawit ini sepenuhnya milik kita. Ia berbeza dengan semikonduktor yang banyak bergantung kepada import.
“Sebab itu penting kita pastikan program tanaman semula berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata tumpuan terhadap program tanaman semula juga sebahagian daripada usaha kementerian memastikan industri sawit negara kekal mampan dan berdaya saing di peringkat global.