
Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata, geran khas kerajaan persekutuan kepada Sabah kekal pada RM600 juta bagi 2026. Jumlah itu sebelum ini digandakan daripada RM300 juta pada tahun ini.
Beliau berkata, belanjawan itu turut memperuntukkan RM1 bilion bagi pelbagai projek bekalan air, merangkumi pemasangan paip baharu di Tawau serta penggantian paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan. Peruntukan itu disalurkan walaupun pengurusan utiliti itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Chan, yang juga timbalan ketua DAP Sabah berkata, RM1.2 bilion turut diperuntukkan bagi menjamin bekalan elektrik di negeri itu, dengan tambahan RM765 juta lagi akan dibelanjakan untuk projek transmisi kuasa ‘Southern Link’ sepanjang 330km.
Kerajaan turut menyediakan RM1.67 bilion bagi penyiapan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah, sementara lapangan terbang baharu akan dibina di Kota Kinabalu dan Tawau.
Sebanyak RM39 juta akan dibelanjakan bagi projek tebatan banjir fasa kedua, manakala hampir RM2 bilion akan digunakan untuk menaik taraf sekolah-sekolah daif di Sabah dan Sarawak.
Chan juga berkata, tiga sekolah baharu akan dibina, iaitu SK Sri Apas Jaya di Tawau, SK Sabandar di Tuaran, dan SK Alam Mesra di Kota Kinabalu.
“RM80 juta (diperuntukkan) bagi penjenamaan semula Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) sebagai Pusat Jantung (Negara) Sabah. Klinik kesihatan baharu turut akan dibina di Nabawan,” katanya dalam kenyataan.
“Kerajaan (juga) menyokong kegiatan ekonomi di sempadan negara dengan menambah baik prasarana asas, antaranya membina jalan baharu Kalabakan, Sabah ke Simanggaris, Indonesia sepanjang 28km.”
Chan, yang merupakan pengarah dasar DAP, turut menyambut baik keputusan menggantikan pangkalan operasi hadapan luar pesisir statik Tun Sharifah Rodziah dengan sebuah platform perintah serba guna bermula Jun 2026.
Beliau berkata, semua langkah ini membuktikan sikap cermat dan hasrat kerajaan perpaduan untuk membangunkan Sabah, dan beliau yakin ia akan menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi Sabah dan pengukuhan kesejahteraan rakyat.