
Mesyuarat selama empat hari itu akan menyaksikan pelancaran Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga Asean 2026-2030, di samping menandatangani dua memorandum persefahaman utama — Grid Kuasa Asean (APG) dan Perjanjian Keselamatan Petroleum Asean.
Perjanjian bersejarah ini bertujuan untuk mengukuhkan kesalinghubungan elektrik rentas sempadan, meningkatkan keselamatan tenaga serantau, serta mempercepatkan integrasi tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asia Tenggara.
Menteri tenaga Asean, pegawai kanan, rakan dialog dan wakil daripada Agensi Tenaga Antarabangsa, Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa serta bank pembangunan utama turut menghadiri sesi berkenaan.
Program itu juga menampilkan Dialog Menteri-CEO, Anugerah Tenaga Asean, serta mesyuarat berkaitan seperti Mesyuarat Pegawai Kanan Tenaga Asean Tambah Tiga dan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Sidang Kemuncak Asia Timur.
Keutamaan Malaysia
Sebagai pengerusi Asean, Malaysia menerajui perbincangan ke arah peralihan tenaga yang adil, inklusif dan dipacu inovasi.
Keutamaan Malaysia termasuk memajukan APG, memperkukuh pembiayaan tenaga boleh diperbaharui, serta mempromosikan teknologi hidrogen bersih dan penyimpanan tenaga.
Malaysia juga memperjuangkan penubuhan kemudahan peralihan tenaga adil serantau bagi memastikan semua negara anggota Asean, khususnya ekonomi yang kurang maju, mendapat manfaat daripada akses kepada teknologi, pembangunan kapasiti dan pembiayaan lestari.
Hasil daripada AMEM ke-43 ini akan menyumbang kepada pelan jangka panjang Asean ke arah masa depan tenaga yang bersepadu, selamat dan rendah karbon, sambil menteri-menteri mengulangi komitmen mereka terhadap kemakmuran bersama melalui pertumbuhan mampan.