Kenapa Adam Radlan dibenar simpan wang rasuah, Kok persoal AGC

Kenapa Adam Radlan dibenar simpan wang rasuah, Kok persoal AGC

Ahli Parlimen Seputeh itu juga mempersoalkan hala tuju Jabatan Peguam Negara dalam mengendalikan kes rasuah.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan mempersoalkan mengapa pemimpin Bersatu, Adam Radlan Adam Muhammad dibenar menyimpan RM5.8 juta wang rasuah selepas membayar kompaun yang membawa kepada pembebasannya daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Teresa Kok (PH-Seputeh) turut mempersoalkan hala tuju Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam mengendalikan kes rasuah selepas timbalan ketua Bersatu Segambut itu dibebaskan selepas membayar kompaun sebanyak RM4.1 juta.

Beliau turut membangkitkan kes membabitkan seorang wakil rakyat dan pembantunya yang tidak didakwa di mahkamah walaupun didapati menyimpan beratus-ratus juta ringgit dalam sebuah rumah.

Menurut Kok, wakil rakyat berkenaan yang beliau tidak namakan, turut memulangkan semua wang berkenaan kepada kerajaan.

“Adakah ini hala tuju AGC? Di mana AGC tidak akan mendakwa seseorang atas rasuah sekiranya dia memulangkan semula wang rasuah tersebut,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Adam Radlan didakwa pada Februari 2023 dengan lima pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah sehingga RM9.9 juta bagi membantu dua syarikat memperoleh projek di bawah program Jana Wibawa, iaitu inisiatif pemerkasaan ekonomi kontraktor Bumiputera yang dilancarkan ketika pandemik Covid-19.

Beliau turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM3 juta.

Malam tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata Adam Radlan dibebaskan oleh mahkamah selepas pihak pendakwaan menggunakan budi bicara untuk menarik balik pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadapnya selepas membayar kompaun yang ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.