
Ia membabitkan Nasiruddin Mohd Ali, 66, yang berdepan 77 pertuduhan melibatkan RM10,084,323.70, Hamimah Yakub, 73, (59 pertuduhan, RM2,145,357.62), Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45, (43 pertuduhan, RM3,806,392.01), dan suami Asmat, Mohd Khushairi Osman, 54, (51 pertuduhan, RM8,136,047.51).
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pendakwaan memindahkan kes mereka untuk dibicarakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.
Menurut Sinar Harian, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, berkata permohonan menggabungkan kes dibuat bagi menjimatkan kos dan masa pihak terlibat.
“Ia juga akan memudahkan kehadiran saksi serta pihak-pihak terlibat, selain membantu dalam persediaan pra perbicaraan dan melancarkan perjalanan perbicaraan,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Mohd Marzuki.
Peguam Nurainaa Kamilah Zalizan mewakili Hamimah, manakala Rosli Kamaruddin mewakili tiga tertuduh lain, tidak membantah permohonan berkenaan.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Jan ini.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menerima dan memindahkan hasil aktiviti haram melibatkan beberapa akaun antaranya milik akaun milik tertuduh sendiri, GISB Mart Sdn Bhd, GISB Travel and Tour Sdn Bhd dan sebuah pusat penjagaan kanak- kanak di Bandar Baru Bangi, Rawang dan Subang Perdana, antara 2020 hingga 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.