Akta Mara akan dipinda pastikan tatakelola baik, kekal relevan

Akta Mara akan dipinda pastikan tatakelola baik, kekal relevan

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata Mara perlu diuruskan dengan baik dan kembali kepada perniagaan terasnya.

mara
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi memberi tempoh enam bulan kepada Mara untuk merangka rang undang-undang bagi pindaan itu.
PUTRAJAYA:
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara) 1966 akan dipinda untuk memastikan agensi itu terus relevan dan ditadbir dengan tatakelola baik.

“Mara mesti diuruskan dengan terbaik dan kembali kepada ‘core business’ terdahulu yang bertepatan dengan tujuan Mara.

“Kita mesti belajar daripada kesilapan terdahulu dan memperbaikinya,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini

Menteri kemajuan desa dan wilayah itu memberi tempoh enam bulan kepada Mara untuk merangka rang undang-undang bagi pindaan itu.

Menurutnya, Mara berpotensi mengurus tadbir sendiri dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau berkata, Mara yang memiliki aset RM23 bilion perlu dilihat sebagai konglomerat berdaya saing, bukannya agensi kerajaan semata-mata.

Katanya, hasrat meminda akta itu disampaikan kepada Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki dalam sesi libat urus bersama tiga agensi di bawah kementerian itu baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, pindaan Akta Orang Asli 1954 di peringkat terakhir dan hanya pindaan kecil belum diselesaikan.

“Yang paling penting ialah persetujuan kerajaan negeri kerana ia melibatkan soal tanah dan beberapa aspek berkaitan bidang kuasa kerajaan negeri.

“Di peringkat KKDW dan Jabatan Orang Asli, perkara ini telah diselesaikan, malah saya telah membawanya ke persidangan menteri besar baru-baru ini.

“Dalam tempoh terdekat, kita akan dapat melihat akta ini dibentangkan di Parlimen.”

Mac lalu, Zahid dilaporkan berkata, pindaan akta itu dijangka dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini atau selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.