
Noorhayati Ariffin berkata dia merasa bingung dan hairan dengan kenyataan Saifuddin yang kementeriannya sedang ‘meneliti’ arahan Mahkamah Tinggi termasuk membuka semula siasatan berhubung kehilangan aktivis itu.
Menurutnya, menerusi siasatan sebelum ini termasuk laporan pasukan petugas khas kementerian, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), serta keputusan Mahkamah Tinggi, sudah pun menyimpulkan pihak polis didakwa bertindak secara salah dalam kes terbabit.
Dakwanya, mengikut laporan media pada 2023, Saifuddin dipetik berkata akan membawa laporan petugas khas kepada orang ‘atasan’.
“Laporan pasukan ini yang ditubuhkan oleh kementeriannya sendiri sudah jelas melapor tindakan polis sangat cuai, tidak cekap malah membenarkan polis bertindak melanggar undang-undang tanpa rasa takut.
“Laporan itu juga menyarankan siasatan itu mesti diteruskan dengan betul dan telus,” katanya dalam kenyataan.
“Apa yang keluarga mangsa mahu bukan sekadar kata-kata. Kami mahu tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab menculik Amri dan pastor Raymond Koh, serta mereka yang menghalang siasatan dan melindungi pelaku.”
Semalam, Saifuddin berkata kementeriannya memberi tumpuan penuh terhadap pelaksanaan arahan mahkamah dalam kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri termasuk membuka semula siasatan kes berkenaan.
Amri dilaporkan hilang pada 24 Nov 2016, manakala Koh pada 13 Feb 2017.
Pada 5 Nov lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada Norhayati.
Mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan saman yang difailkan oleh kedua-dua wanita itu terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan suami masing-masing.