
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Azman Ibrahim, berkata kerajaan negeri sebelum ini menawarkan 30% daripada keuntungan kasar sejak April 2024, namun Felda masih belum mengemukakan sebarang angka cadangan.
“Sejak April 2024 sehingga sekarang, tiada maklum balas rasmi diberikan malah minit mesyuarat lembaga pengarah yang dijanjikan juga tidak diterima.
“Mesyuarat terakhir bersama Felda pada 1 Okt lalu juga gagal mencapai keputusan kerana mereka tidak membentangkan sebarang angka kepada Lembaga Pengarah,” katanya menurut Sinar Harian, di Kuala Terengganu.
Katanya, Terengganu kini menuntut hak sama daripada Felda berhubung hasil perkongsian keuntungan tanah milik kerajaan negeri meliputi 10 ladang milik FGV hampir 15,000 hektar
Azman menjelaskan, tuntutan itu tidak membabitkan tanah rancangan peneroka.
“Beberapa negeri lain termasuk Pahang dan Sabah telah menerima bayaran. Justeru, kita menuntut hak sama rata. Kerajaan negeri hanya menumpukan kepada penyelesaian melalui perkongsian keuntungan tanpa menjejaskan hak peneroka.
“Kita juga telah memberi kelonggaran kepada Felda termasuk bersetuju dengan tempoh 40 hari, walaupun mereka pada awalnya memohon 60 hari.
“Jika sehingga tarikh akhir tiada sebarang cadangan dikemukakan, kerajaan negeri akan mengeluarkan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) atas kesalahan menceroboh tanah kerajaan sebelum tindakan penyitaan diambil.”
Menurut laporan, tanah berkenaan diusahakan Felda sejak 1985 melibatkan kawasan seluas 14,791 hektar, termasuk Ladang FGV Setiu 1 seluas 1,742 hektar.
Tanah itu telah melalui proses tanam semula dan diusahakan tanpa sebarang bayaran premium, cukai tanah atau perkongsian keuntungan kepada kerajaan negeri.
Azman turut menegaskan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam mempertahankan hak milik tanah negeri yang dimajukan tanpa dokumen hak milik sah sejak puluhan tahun lalu.
“Dalam tempoh lebih 40 tahun, Felda menikmati hasil serta keuntungan besar daripada tanah tersebut, tetapi kerajaan negeri tidak pernah menerima hak sewajarnya,” katanya.