Penasihat program Keda tak terbabit rancang kewangan, perolehan, kata Zahid

Penasihat program Keda tak terbabit rancang kewangan, perolehan, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata peranan penasihat terdiri daripada pemimpin Umno bahagian itu adalah sebagai penghubung antara Keda dan komuniti setempat.

Ahmad Zahid-Hamidi
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata segala perancangan termasuk aspek kewangan, perolehan dan pelaksanaan adalah di bawah Keda sepenuhnya serta tidak melibatkan penasihat program. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menjelaskan bahawa pemimpin Umno bahagian yang dilantik sebagai penasihat program dan aktiviti Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) tidak terbabit dalam sebarang perancangan kewangan dan perolehan.

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata peranan penasihat itu adalah sebagai penyelaras yang menjadi penghubung maklumat program secara dua hala antara Keda dan komuniti setempat.

“Mereka juga berperanan bagi menggalakkan penyertaan komuniti setempat dalam program dan aktiviti anjuran agensi itu.

“Bagaimanapun, segala perancangan termasuk aspek kewangan, perolehan dan pelaksanaan adalah di bawah Keda sepenuhnya serta tidak melibatkan penasihat program,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Nurul Amin Hamid (PN–Padang Terap) yang meminta kementerian menjelaskan peranan dan fungsi penasihat program Keda yang dilantik daripada kalangan ketua bahagian Umno di Kedah.

Sebelum ini, Nurul Amin ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat mempersoalkan rasional pelantikan ketua bahagian Umno di seluruh Kedah sebagai penasihat program dan aktiviti di bawah Keda pada Mei lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.