
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Etika, Santharuban Thurai Sundram berkata program ini diwujudkan bagi menangani isu berpanjangan di Semporna, di mana kelemahan dalam pengurusan sisa dan pencemaran plastik telah menjejaskan kehidupan masyarakat setempat serta ekosistem marin.
Katanya, projek pengurusan sisa di Kampung Sri Aman ini bertujuan membangunkan model pengurusan yang tersusun dan mampan, yang boleh dijadikan contoh serta dilaksanakan di kawasan pesisir pantai lain.
“Projek ini memberi peluang kepada kami untuk menawarkan penyelesaian yang praktikal dan memberi kesan nyata kepada cabaran yang dihadapi komuniti setempat.
“Kelestarian hanya dapat dicapai sekiranya masyarakat yang terlibat turut diberi peranan, dan melalui kerjasama dengan pihak tempatan, kami berharap dapat mewujudkan impak jangka panjang yang bermakna,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, melalui inisiatif ini, Etika akan memberi sokongan menyeluruh daripada pelaksanaan audit sisa dan penyediaan infrastruktur hinggalah kepada latihan serta penglibatan komuniti, bersama Reef Check Malaysia dan disokong oleh Marea, bagi memupuk kelestarian jangka panjang dalam komuniti setempat.
Katanya, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) turut menyambut baik inisiatif oleh Etika ini sebagai langkah positif dalam memperkukuhkan usaha pembangunan lestari di negeri ini.
Menerusi inisiatif ini, tambahnya, komuniti Kampung Sri Aman akan dilengkapi dengan kemahiran dan infrastruktur untuk mengurus persekitaran mereka secara bertanggungjawab, melindungi ekosistem marin, malah turut memberi kuasa kepada penduduk untuk mengambil peranan menjaga alam sekitar mereka.
“Kerjasama ini membina asas yang kukuh bagi inisiatif pelancongan ekologi dan usaha pemuliharaan yang akan dilaksanakan di seluruh negeri pada masa hadapan.
“Menjelang akhir 2028, projek ini menyasarkan 99 isi rumah di kampung ini dilengkapi dengan tong sisa, dengan sekurang-kurangnya 90% daripadanya mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti pengasingan sisa.
“Dalam jangka panjang, program ini berhasrat untuk mengalihkan lebih 10,000kg sisa daripada persekitaran,” katanya.
Pengurus Program Reef Check Malaysia, Adzmin Fatta berkata selain memberi manfaat kepada alam sekitar, program ini juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk yang akan dilibatkan sebagai pengutip dan penyelaras sisa.
Katanya, bahan kitar semula yang dikumpul akan dihantar ke pusat pengumpulan untuk dikitar semula, dan hasil keuntungan daripadanya akan disalurkan semula bagi memperkukuh inisiatif pengurusan sisa dan kitar semula komuniti.