Rekod cemerlang Jamawi mampu majukan Melalap, kata Nurul Izzah

Rekod cemerlang Jamawi mampu majukan Melalap, kata Nurul Izzah

Pengarah pilihan raya PKR berkata calon itu mempunyai pemahaman yang jelas tentang keperluan sebenar pengundi.

Nurul Izzah Jamawi Jaafar
Nurul Izzah Anwar berkata sokongan pengundi terhadap Jamawi Jaafar akan memastikan kesinambungan pelbagai inisiatif.
PETALING JAYA:
Pengarah Pilihan Raya PKR Nurul Izzah Anwar hari ini berkata pengalaman Jamawi Jaafar akan memperkukuh dan mempercepatkan kemajuan di kawasan DUN Melalap.

Timbalan presiden PKR itu berkata calon PKR bagi Melalap itu mempunyai rekod cemerlang serta pemahaman jelas terhadap keperluan sebenar penduduk Melalap.

“Jika diberi mandat, kita yakin beliau mampu memperkukuh pembangunan asas, daripada jalan raya dan bekalan air kepada kemudahan pendidikan serta peluang ekonomi untuk golongan belia,” katanya seperti dipetik Daily Express hari ini.

Nurul Izzah berkata, sokongan pengundi terhadap Jamawi akan memastikan kesinambungan pelbagai inisiatif, termasuk menaik taraf kemudahan kampung, memperluas perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman serta memperbaiki capaian telekomunikasi dan internet.

“Melalap berpotensi menjadi model pembangunan luar bandar dengan sokongan kukuh masyarakat setempat,” katanya.

Beliau juga berkata, kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) bertujuan mengekalkan kestabilan politik sambil memastikan pelan pembangunan negeri dilaksanakan dengan berkesan di peringkat akar umbi.

“Dengan kestabilan politik, pembangunan luar bandar dapat dipercepatkan agar Melalap menikmati kemajuan setanding dengan kawasan lain,” katanya.

Untuk rekod, Jamawi pernah menjadi Adun Kemabong dari 2018 hingga 2020 mewakili Umno. Pada PRN 2020, beliau bertanding di Melalap atas tiket Umno namun tewas kepada Peter Anthony dengan majoriti 1,719 undi.

Pada PRU dua tahun kemudian, Jamawi bertanding di kerusi Parlimen Tenom tetapi kalah kepada calon bebas Riduan Rubin dengan majoriti 1,108 undi, sebelum meninggalkan Umno dan menyertai Gagasan Rakyat.

Pengerusi GRS Hajiji Noor kemudian menyatakan beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan keputusan PKR menamakan Jamawi sebagai calon dalam PRN Sabah pada 29 November, sambil menegaskan bahawa itu adalah hak demokratiknya untuk menyertai mana-mana parti dan bertanding.

Katanya, GRS akan memberi sokongan kepada Jamawi memandangkan gabungan itu mempunyai pakatan pilihan raya dengan PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.