Bekas presiden PPj dilantik datuk bandar KL

Bekas presiden PPj dilantik datuk bandar KL

Fadlun Mak Ujud menggantikan Maimunah Sharif yang akan menamatkan perkhidmatannya hari ini berbanding tarikh asal 16 Ogos depan.

zaliha mustafa and Fadlun Mak Ujud
Fadlun Mak Ujud dilantik datuk bandar Kuala Lumpur baharu berkuat kuasa esok. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan melantik bekas presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Fadlun Mak Ujud sebagai datuk bandar Kuala Lumpur berkuat kuasa esok.

Fadlun, 58, menggantikan Maimunah Sharif yang akan menamatkan perkhidmatannya hari ini berbanding tarikh asal 16 Ogos tahun depan.

Fadlun yang berkelulusan ijazah sarjana muda perancangan bandar dan desa, memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya.

Beliau merupakan ahli Lembaga Perancang Bandar, felo Pertubuhan Perancang Malaysia dan presiden merangkap pengerusi PPj sejak 2022.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, berkata Fadlun menunjukkan kepimpinan cemerlang dalam memperkukuh pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, Pelan Transformasi Hijau Putrajaya serta pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar berasaskan prinsip inklusiviti dan kelestarian.

“Penglibatan aktif beliau dalam pelbagai forum dan jaringan profesional antarabangsa memperkukuh peranannya sebagai tokoh perancang bandar berwawasan dan berpandangan jauh,” katanya dalam kenyataan.

Zaliha yakin Fadlun akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan penuh integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat.

“Kepimpinan beliau diharapkan dapat memperkukuh pelaksanaan agenda Bandar Chase serta memastikan Kuala Lumpur terus maju sebagai ibu kota global berdaya saing, berdaya huni dan berpaksikan nilai Madani.”

Pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada Maimunah atas kepimpinan dan sumbangannya sebagai datuk bandar Kuala Lumpur yang banyak memperluaskan reputasi ibu negara di peringkat antarabangsa.

“Saya juga mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau sebagai penasihat hartanah Petronas dan percaya pengalaman luasnya akan terus dimanfaatkan dalam menerajui agenda pembangunan strategik negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.