Anwar maklumkan Trump Thailand, Kemboja pilih diplomasi

Anwar maklumkan Trump Thailand, Kemboja pilih diplomasi

Perdana menteri berkata beliau memberitahu presiden Amerika Syarikat bahawa kedua-dua negara telah menarik pasukan tentera mereka dari sempadan.

anwar ibrahim on call donald trump
Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat panggilan telefon kepada Presiden AS Donald Trump mengenai pertikaian Kemboja-Thailand. (Gambarr Facebook)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau telah memaklumkan Donald Trump mengenai komitmen Kemboja dan Thailand untuk menyelesaikan ketegangan sempadan dalam perbincangan dengan presiden Amerika Syarikat (AS) itu hari ini.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau memaklumkan Trump tentang kesediaan Kemboja dan Thailand untuk terus memilih ‘dialog dan diplomasi’ susulan ketegangan terbaru antara negara jiran itu.

“Saya menekankan bahawa kedua-dua negara telah menarik balik pasukan tentera mereka dari sempadan selaras dengan pendekatan yang dipersetujui di bawah Perjanjian Damai Kuala Lumpur,” kata Anwar.

“Saya mengalu-alukan peranan aktif Trump dalam menghubungi perdana menteri Kemboja dan Thailand bagi memastikan sebarang perbezaan ditangani secara teratur… demi menjaga kestabilan dan keharmonian serantau.”

Semalam, Menteri Luar Mohamad Hasan berkata Malaysia bersedia menjadi tuan rumah rundingan antara Thailand dan Kemboja berikutan ketegangan baharu di sempadan kedua-dua negara.

Kemboja dan Thailand saling membuat tuduhan selepas pertempuran baharu meletus di sempadan mereka pada Rabu apabila Bangkok mengatakan ia menghentikan pelaksanaan perjanjian damai yang disokong AS, menurut AFP.

Ketegangan lima hari yang tercetus antara Thailand dan Kemboja awal tahun ini, mengorbankan 43 orang dan sekitar 300,000 orang terpaksa dipindahkan sebelum gencatan senjata yang disokong Trump meredakan keadaan.

Pada Isnin, Thailand menghentikan pelaksanaan perjanjian untuk menamatkan konflik, mendakwa letupan daripada periuk api baharu telah mencederakan empat anggotanya.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Kementerian Pertahanan Kemboja menafikan meletakkan periuk api baharu dan menggesa Thailand mengelakkan rondaan di kawasan ladang periuk api lama.

Pertikaian antara Thailand dan Kemboja telah berlarutan lebih satu abad, berpunca daripada perbezaan mengenai pemetaan sempadan era kolonial.

Ketegangan sering tercetus di sekitar kumpulan kuil sempadan yang didakwa oleh kedua-dua negara sebagai milik mereka.

Kedua-dua pihak bersetuju dengan satu gencatan senjata pada akhir Julai selepas campur tangan Trump, serta diplomat China dan Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.