PRN Sabah: PKR tak tampil calon ketua menteri

PRN Sabah: PKR tak tampil calon ketua menteri

Ketuanya Mustapha Sakmud berkata PKR akan sokong rakan kerjasama GRS atau BN untuk menduduki kerusi itu berdasarkan parti yang meraih majoriti.

Mustapha Sakmud
Mustapha Sakmud berkata PKR berhasrat bantu perkukuh kerajaan negeri seperti kerjasama dengan pentadbiran diketuai Gabungan Rakyat Sabah sebelum DUN dibubarkan pada 6 Okt lalu.
PETALING JAYA:
PKR tidak akan menampilkan calon ketua menteri sebaliknya menyokong rakan kerjasama untuk memegang jawatan itu berdasarkan keputusan PRN 29 Nov, kata Mustapha Sakmud.

Ketua PKR Sabah berkata, objektif utama parti bertanding PRN ke-17 untuk memperkukuh kerajaan negeri dengan cuba menempatkan seramai mungkin calonnya sebagai Adun.

Katanya, calon ketua menteri akan ditentukan berdasarkan keputusan pilihan raya, sama ada daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau Barisan Nasional (BN), bergantung kepada parti memperoleh majoriti sokongan serta kerusi terbanyak.

Untuk rekod, pada PRN kali ini GRS menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), yang turut berpakat dengan BN. Bagaimanapun, tiada kerjasama secara langsung antara BN dan GRS.

Awal bulan ini calon PH di Merotai Ruji Ubi nafi spekulasi namanya antara disebut bakal dilantik ketua menteri Sabah jika GRS–PH mendapat mandat pada PRN.  (Gambar Facebook)

Namun, Mustapha menekankan keutamaan untuk memilih tokoh layak daripada gabungan rakan kerjasamanya yang mampu memimpin untuk manfaat Sabah.

“Setakat ini, PKR tidak menampilkan calon ketua menteri sendiri.

“Hasrat PKR adalah untuk memperkukuh kerajaan negeri yang stabil dan kuat. Sebab itu, kita hanya bertanding di 10 kerusi, manakala rakan DAP tujuh dan Amanah satu,” katanya dalam temu bual FMT.

Awal bulan ini, Utusan Malaysia melaporkan bekas ketua setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Ruji Ubi, menolak spekulasi namanya antara disebut bakal dilantik sebagai ketua menteri Sabah jika GRS–PH mendapat mandat pada PRN.

Ruji, yang dinamakan PKR sebagai calon PH di DUN Merotai berkata keutamaannya kini memastikan kemenangan parti pada PRN 29 Nov.

Niat tanding di Tempasuk

Mengulas mengapa beliau tidak bertanding seperti ketua parti lain di Sabah, Mustapha berkata keputusan dibuat kerana enggan perkhidmatannya menjadi ‘separuh masak’, memandangkan kedudukannya juga sebagai Ahli Parlimen Sepanggar dan timbalan menteri Pendidikan Tinggi.

“Saya diminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk fokus pada tugas di Parlimen dan kementerian yang agak berat.

“Dulu saya berniat bertanding di Tempasuk, selama beberapa bulan (tumpu DUN itu, Sepanggar dan tugas kementerian) semuanya separuh masak,” katanya.

Menurutnya, selepas mempertimbangkan keadaan itu, beliau berlapang dada dan memutuskan tidak bertanding pada PRN kali ini.

“Tetapi saya akan bantu untuk memenangkan 10 kerusi tumpuan PKR dan menghantar wakil kita ke DUN,” katanya yang bertanding di DUN Tempasuk pada PRN 2020 tetapi kalah.

DUN Tempasuk bakal menyaksikan pertembungan antara calon GRS, Arsad Bistari, selaku penyandang manakala Warisan meletakkan Khidir Lamsil; serta Ketua Umno Kota Belud, Azwan Norjan.

Azwan menggantikan Timbalan Ketua Umno Sabah Abdul Rahman Dahlan yang menarik diri daripada bertanding.

Untuk rekod, Arsad memenangi kerusi itu pada PRN 2020 atas tiket BN dengan majoriti 1,685 undi, namun berpihak kepada GRS selepas menyokong pentadbiran Hajiji Noor dalam Langkah Kinabalu pada Januari 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.