
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata kenyataan Presiden MIC SA Vigneswaran bahawa parti berkenaan akan menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim walaupun meninggalkan BN, menunjukkan ia terperangkap antara pakatan politik dan tidak lagi mempunyai pengaruh besar.
“Ia sama dengan Umno di Sabah. Keluar dari blok negeri, tetapi masih bersama blok persekutuan. MIC, seperti Umno, tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya kepada FMT.
“MIC tidak mempunyai kuasa tawar-menawar dengan PH, kerana PKR dan DAP sudah pun kukuh dalam kalangan pengundi India. PH boleh menarik undi India jauh lebih baik daripada MIC. MIC tidak ada apa-apa untuk ditawarkan,” katanya.
Sebaliknya, BN terutamanya Umno, mungkin akan mendapat faedah jika MIC keluar memandangkan perbincangan pembahagian kerusi menjadi lebih mudah.
“Jika MIC keluar, BN tidak perlu memikirkan rundingan kerusi pada PRN Melaka dan Johor atau PRU akan datang. Umno boleh terus bertanding di kerusi-kerusi itu,” katanya.
Tidak relevan tanpa undi Umno
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, berkata prospek pilihan raya MIC yang sedia lemah boleh menjadi lebih teruk apabila meninggalkan BN kerana relevannya MIC dalam politik nasional sudah lama bergantung kepada undi penyokong Umno.
“Tanpanya, parti berkenaan menjadi semakin tidak relevan,” katanya.
Awang berkata, MIC sepatutnya memberi tumpuan mendapatkan semula sokongan pengundi India dan bukannya menyalahkan Umno atau pihak lain. “Jika MIC bergerak solo, hayat politiknya akan berakhir dengan lebih cepat. Parti tersebut tidak lagi penting dalam arus perdana.”
Pertembungan MIC-DAP-PKR
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, berkata PH akan menolak kemasukan MIC kerana DAP dan PKR bersaing untuk kerusi bukan Melayu. “Mereka tidak akan menggugurkan kerusi mereka untuk MIC,” katanya.
Katanya, MIC mungkin cuba memanfaatkan sentimen tidak puas hati masyarakat India terhadap kerajaan Madani untuk kelihatan lebih berdikari.
Namun, langkah itu tidak membantu pada pilihan raya. “Pertembungan tiga penjuru akan memecahkan undi dan menjejaskan MIC,” katanya.
Semalam, Vigneswaran berkata perwakilan MIC sebulat suara bersetuju pada perhimpunan agung tahunan di Shah Alam untuk menangguhkan keputusan muktamad menarik diri daripada BN menyerahkan perkara itu kepada Jawatankuasa Kerja Pusat dan presiden.
Beliau menolak kemungkinan bergerak solo, dan berkata MIC hanya akan memutuskan gabungan mana akan disertai sekiranya memilih menarik diri daripada gabungan. Katanya, Anwar telah menasihatinya untuk mempertimbangkan semula keputusan itu kerana MIC sudah lama dalam BN.
MIC, MCA, dan Umno merupakan pengasas bagi parti Perikatan sebelum merdeka, yang kemudiannya menjadi BN pada 1973.