KL perlu pentadbir cekap, bukan 1 lagi peringkat pilihan raya, DAP diberitahu

KL perlu pentadbir cekap, bukan 1 lagi peringkat pilihan raya, DAP diberitahu

Sistem pengurusan pembangunan bandar boleh ditambah baik tanpa perlu pilihan raya PBT, kata Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz.

kl skyline
Rakyat tak perlu dibebankan dengan kempen pilihan raya PBT yang boleh buka ruang kepada ‘politicking’ dan pelobi, kata seorang pemimpin Bersatu. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Kuala Lumpur memerlukan pentadbir cekap, bukannya satu lagi peringkat pilihan raya, menurut seorang pemimpin Bersatu.

Ketua Penerangannya, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata sistem pengurusan pembangunan bandar sebenarnya boleh ditambah baik tanpa perlu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), justeru kerajaan harus melantik datuk bandar yang cekap dalam pentadbiran serta banyak idea.

Beliau berkata, mempunyai kementerian berkaitan, menteri dan kerajaan boleh diharapkan juga penting.

“Tak perlu bebankan datuk bandar dan rakyat dengan kempen pilihan raya PBT yang akhirnya boleh membuka ruang kepada terlalu banyak ‘politicking’, pelobi dan elemen rasuah,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas seruan DAP mengembalikan pilihan raya PBT ‘secepat mungkin’ susulan pelantikan datuk bandar baharu, Fadlun Mak Ujud menggantikan Maimunah Mohd Sharif.

Semalam, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai dilaporkan berkata, menteri Wilayah Persekutuan dan datuk bandar bersilih ganti, namun “sehingga kini belum ada seorang pun benar-benar memenuhi penanda aras membangunkan sebuah ibu kota cekap, berintegriti”.

Tun Faisal bagaimanapun berkata, Kuala Lumpur diiktiraf bandar raya kedua terbaik di Asia Tenggara oleh Indeks Bandar Global 2024 tanpa pilihan raya PBT.

“Ia juga tersenarai bandar ke-12 terbaik dunia untuk pelajar menurut QS Best Student Cities 2026, bandar raya ke-18 terbaik dunia secara keseluruhan (2024) oleh beberapa laporan, termasuk Astro Awani, dan bandar kelapan terbaik dunia untuk didiami warga asing,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Awang Hashim, mendakwa DAP akan mengkritik pihak yang tidak sealiran dengan kehendak mereka.

“Semua datuk bandar dan menteri wilayah tidak mencapai tanda aras sebagaimana dikatakan DAP kerana tidak ada draf cadangan untuk pilihan raya tempatan seperti yang DAP kehendaki,” katanya.

Pada 26 Ogos lalu, Parlimen Kelab Penyokong Kerajaan Kuala Lumpur dilaporkan berkata, tiba masa Kuala Lumpur melaksanakan reformasi tadbir urus bandar raya, dengan memberi ruang semak dan imbang melalui pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Gesaan itu menyusul laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara berhubung isu tanah di ibu negara, menurut Sinar Harian.

Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, peranan lembaga penasihat bandar raya terhad sebagai penasihat dan tiada kuasa membuat keputusan secara bersama, berbeza dengan sistem ahli majlis di PBT negeri lain.

Sehubungan itu, PAC mencadangkan kerajaan menyemak semula dan meminda undang-undang bagi memperkenalkan sistem ahli majlis lantikan seperti dilaksanakan di negeri lain bagi mewujudkan sistem semak dan imbang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.