Ahli Parlimen umum sokong Muhyiddin dan Hamzah

Ahli Parlimen umum sokong Muhyiddin dan Hamzah

Abdul Khalib Abdullah kata mesyuarat semalam bincang perkembangan semasa, mengukuhkan kesepakatan, serta memperteguh hala tuju.

Abdul Khalib Abdullah
Ahli Parlimen Abdul Khalib Abdullah nyata sokongan kepada Presiden Muhyiddin Yassin, dan timbalannya, Hamzah Zainudin. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Presiden Muhyiddin Yassin, dan timbalannya, Hamzah Zainudin, susulan mesyuarat di kediaman Muhyiddin semalam.

Wakil rakyat Rompin, Abdul Khalib Abdullah, menyatakan sokongan dalam kenyataan media, susulan perjumpaan Ahli Parlimen Bersatu semalam yang menyaksikan mereka menyatakan sokongan penuh kepada presiden.

Menurut Khalid, mesyuarat membincangkan perkembangan semasa, mengukuhkan kesepakatan, serta memperteguh hala tuju.

Pertemuan itu bukti pemimpin Bersatu berpegang teguh pada semangat jamaah dan disiplin organisasi, katanya.

“Kami terus berdiri teguh bersama presiden, timbalan presiden, dan barisan
kepimpinan tertinggi Bersatu yang telah diamanahkan untuk memimpin parti…

“Keyakinan ini lahir daripada komitmen bersama untuk memastikan parti terus
mantap, tersusun, dan bersedia menghadapi cabaran politik semasa,” menurut kenyataan.

Katanya, keharmonian, kesepaduan, dan kesalingfahaman yang kukuh
antara Ahli-ahli Parlimen akan mengukuhkan Bersatu, dan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif, berprinsip, dan berwibawa.

Bersatu menerbitkan video memaparkan 18 Ahli Parlimen menyatakan sokongan kepada Muhyiddin, selepas menghadiri mesyuarat semalam.

Perjumpaan itu berlangsung hanya dua minggu selepas 19 Ahli Parlimen Bersatu menghantar surat kepada Muhyiddin bagi membantah tindakan disiplin yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Muhyiddin berdepan gesaan untuk berundur sebagai presiden Bersatu dan menyerahkan jawatan itu kepada Hamzah.

Seusai mesyuarat semalam, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan, beritahu pemberita bahawa mereka membincangkan PRN Sabah pada 29 November serta tentang mengukuhkan parti.

Menurutnya lagi, tiada perbincangan tentang penggantian ketua pembangkang, di sebalik penyebaran surat tular, kononnya mendesak Naib Presiden Radzi Jidin menggantikan Hamzah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.