
Suspek berusia 43 tahun yang sedang digantung tugas atas kesalahan narkotik terdahulu, ditahan di sebuah rumah di Pengkalan Chepa pada 7 malam Selasa.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan sebuah kedai butik terpakai di Kota Bharu disamun 10 Nov lalu.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek yang juga anggota polis unit kereta peronda (MPV) mendalangi lima kes samun sepanjang tahun ini.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah. Modus operandi suspek adalah melakukan samun membabitkan premis perniagaan dengan menunjukkan pistol tiruan bagi menakutkan mangsa,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di Kota Bharu.
Beliau berkata, pelbagai barangan dirampas termasuk pistol tiruan digunakan suspek ketika menyamun, pil yaba, topi keledar dan jam tangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun), Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.