Pengawal keselamatan mengaku tak salah cabul murid

Pengawal keselamatan mengaku tak salah cabul murid

Kamaruzaman Hassan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan berusia 10 tahun di sekolah tempatnya bekerja pada 11 November lalu.

seremban court
Tertuduh, Kamaruzaman Hassan, 59, mengakut tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mencabul murid perempuan, minggu lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pengawal keselamatan di sekolah rendah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mencabul murid perempuan, minggu lalu.

Tertuduh, Kamaruzaman Hassan, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Surita Budin, menurut Harian Metro.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan memegang dan mengusap tangan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 6.40 pagi di sekolah berkenaan pada 11 November lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin selain memaklumkan mangsa adalah murid tempat tertuduh bekerja.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan kerana diberhentikan kerja pada hari kejadian manakala isteri tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 dengan syarat tidak mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan dan menyerahkan pasport.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Disember.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.