
Semalam, Amirudin berkata Nurul Izzah, iaitu anak sulung Anwar, akan memperoleh pengalaman pentadbiran yang berharga sekiranya beliau menerajui Selangor, tanpa mencetuskan tuduhan nepotisme sekiranya terus ke Kabinet persekutuan.
Ketika ditanya mengenai cadangan Amirudin, Anwar berkata ia sekadar pandangan peribadi menteri besar.
“Itu pandangan dia. Dia tidak bincang dengan saya,” kata perdana menteri kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam di Hotel Sandton bersama diaspora Malaysia di Afrika Selatan.
Apabila disoal lanjut mengenai kesediaan Amirudin memikul tugas persekutuan, Anwar menjawab: “Bila pilihan raya (umum) yang seterusnya? Masih panjang, jadi kita akan bincangkan perkara ini kemudian.”
Beliau menambah sebarang rombakan Kabinet pada peringkat ini hanyalah untuk mengisi kekosongan sedia ada.
Amirudin, yang juga naib presiden PKR, berkata beliau sudah mengemukakan cadangan tersebut kepada Nurul Izzah agar beliau mengambil peranan menteri besar, namun katanya penerimaan apa dihasratkan itu terpulang kepada beliau sendiri.
Nurul Izzah kini tidak memegang sebarang jawatan wakil rakyat selepas tewas di Permatang Pauh pada PRU 2022. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat seketika sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri.
Amirudin yang kini dalam penggal keduanya turut mengesahkan beliau sedang mempertimbangkan jawatan peringkat persekutuan.
Katanya, andai ada peluang ke peringkat persekutuan, beliau menyatakan ‘akan cuba yang terbaik’, namun menekankan mahu melengkapkan penggalnya sebagai menteri besar.
Mandat kerajaan Selangor sekarang akan tamat pada 2028. Amirudin sebelum ini pernah menyatakan beliau lebih selesa kekal menteri besar, berbanding memegang jawatan persekutuan.
Jemaah Menteri dijangka dirombak berikutan peletakan jawatan Presiden Upko Ewon Benedick sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi, manakala tempoh senator bagi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz akan tamat bulan depan.
Dua lagi jawatan menteri kekal kosong sejak Mei lalu susulan peletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai menteri ekonomi dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam.
Portfolio tersebut ketika ini masing-masing dipangku Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dan Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani.