DUN Sabah dijangka tergantung

DUN Sabah dijangka tergantung

GRS dan Warisan dijangka meraih kebanyakan kerusi namun masing-masing tidak akan melepasi angka 37 untuk peroleh majoriti mudah.

DUN SABAH
DUN Sabah dijangka tergantung apabila tiada parti capai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan. (Gambar DUN Sabah)
PETALING JAYA:
PRN Sabah ke-17 dijangka berakhir dengan situasi DUN tergantung apabila tiada parti mampu mencapai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu, menurut keputusan awal tidak rasmi.

Pilihan raya kali ini secara umum dilihat sebagai pertarungan antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Ketua Menteri Sementara Hajiji Noor dan Warisan yang dipimpin bekas ketua menteri, Shafie Apdal.

GRS mempunyai kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) walaupun berentap di beberapa kerusi, daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan GRS dijangka memenangi 29 kerusi, kurang daripada 37 diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah.

PH pula meraih satu kerusi iaitu di Melalap.

Sementara itu, Warisan dijangka memperoleh sekitar 21 kerusi berdasarkan kiraan awal undi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mempunyai 73 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih serta enam ADUN lantikan oleh kerajaan negeri.

Pakatan Harapan (PH), yang mempunyai pakatan pilihan raya dengan GRS, dijangka memenangi hanya satu kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) yang turut mempunyai pakatan berasingan dengan PH, dijangka meraih sembilan kerusi.

Baki kerusi pula bakal dikongsi antara Upko, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Perikatan Nasional (PN), serta beberapa calon bebas.

Rundingan pasca pilihan raya sememangnya sudah menjadi kebiasaan dalam politik Sabah.

Pada pilihan raya 2018, gabungan Warisan-PH dan BN masing-masing memenangi 29 kerusi, iaitu dua kerusi kurang daripada majoriti mudah ketika itu.

Bagaimanapun, Upko keluar daripada BN selepas gabungan itu tumbang di peringkat persekutuan dan memilih untuk menyokong Shafie Apdal, sekali gus membuka laluan kepada presiden Warisan itu dilantik sebagai ketua menteri.

Pada 2020, Hajiji membentuk kerajaan Sabah selepas gabungan GRS memenangi 38 kerusi melalui satu pakatan tidak rasmi yang merangkumi Bersatu, Umno, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR.

Hajiji kemudian memperoleh majoriti lebih kukuh dalam DUN selepas beberapa ADUN Warisan dan Umno Sabah melompat parti untuk menyertai GRS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.