
Felo Penyelidik Kanan Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zaini Othman berkata tuntutan identiti wilayah kini menjadi parameter utama sokongan yang harus diambil perhatian oleh semua parti.

Menurutnya, maruah politik Sabah juga diterjemah kepada slogan seperti ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ dibawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memenangi 29 kerusi, tertinggi dalam kalangan parti bertanding.
“Ini sebenarnya melambangkan tuntutan autonomi dan menolak parti yang dilihat berasaskan ‘Malaya’ dan pengukuhan identiti politik wilayah.
“Slogan itu bukan lagi retorik tapi telah menjadi parameter legitimasi politik,” katanya pada seminar pasca PRN Sabah ke-17 dan kesan kepada politik Malaysia menuju PRU16.
Menurut Zaini lagi, dapatan itu diperoleh hasil interaksinya dan kajian selepas PRN Sabtu lalu.
Pada PRN Sabah ke-17, GRS meraih 29 daripada 73 kerusi DUN, diikuti Warisan (25), Barisan Nasional (6), bebas (5), Upko (3), Parti Solidariti Tanah Airku (2) manakala Perikatan Nasional, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat serta Pakatan Harapan (PH) masing-masing menang satu kerusi.
Pengerusi GRS Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai ketua menteri selepas turut menikmati sokongan BN, Upko, bebas, PH, KDM dan Adun Bingkor Ishak Ayub yang dilantik pembantu menteri dalam Kabinet Sabah.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif ilham Centre Hisommudin Bakar berkata kajian pihaknya mendapati 58% pengundi Sabah membuat pilihan berdasarkan calon dan bukan parti, menjadikan negeri itu antara medan politik paling sukar diramal di Malaysia.
“Berdasarkan dapatan kajian, pengundi suka calon yang prihatin terhadap kebajikan rakyat, prestasi kerja bagus dan rajin turun padang, melepasi 58% dan ia memberi kelebihan kepada penyandang.
“Sebab penyandanglah yang boleh buat kerja, penyandanglah yang prihatin sebab dia ada duit, penyandanglah yang rajin turun padang.
“Jadi secara automatik, dia memberikan kelebihan kepada penyandang daripada blok parti kerajaan ataupun bahasa mudahnya ketika itu ialah GRS,” katanya.
Dalam pada itu Hisommudin mendedahkan hasil dapatan pihaknya mendapati 82% pengundi menjadikan isu setempat sebagai faktor utama termasuk masalah air, jalan raya, geran tanah dan pembangunan asas sementara isu nasional seperti rasuah atau politik pusat tidak memberi kesan besar.
Berkaitan isu rasuah beliau berkata ia juga tidak menembusi kempen, malah dianggap ‘open secret’.
“Walaupun ada pendedahan di media nasional, ia tidak mengubah sikap pengundi,” katanya.