RM1,000 buat pesakit kanser Negeri Sembilan mulai 2026

RM1,000 buat pesakit kanser Negeri Sembilan mulai 2026

Anak kelahiran Negeri Sembilan yang menghidap kanser layak memohon peruntukan itu bermula tahun depan.

Aminuddin Harun
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata semua pesakit kanser yang disahkan doktor layak membuat permohonan mendapatkan insentif baharu itu. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM1 juta bagi KanserCare, iaitu bantuan pesakit kanser, dengan pemberian insentif RM1,000 secara sekali beri kepada pesakit kanser di negeri ini.

Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata mana-mana anak kelahiran Negeri Sembilan yang menghidap kanser layak memohon peruntukan itu bermula tahun depan.

“Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli ubat, menampung keperluan makan minum atau kos pengangkutan semasa mereka mendapatkan rawatan.

“Bantuan ini bukan hanya untuk golongan B40, tetapi semua pesakit kanser yang disahkan doktor layak membuat permohonan.

“Ini merupakan inisiatif baharu memandangkan bilangan pesakit kanser di negeri ini semakin membimbangkan,” katanya selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 di sini.

Adun Sikamat itu berkata, insentif lain di bawah Teras Kebajikan dan Kesihatan kekal diberikan dengan jumlah keseluruhan RM2.34 juta.

Ia termasuk bantuan rawatan pembedahan AV Fistula untuk pesakit kurang berkemampuan (RM500,000), sentuhan prihatin orang kurang upaya (RM220,000), Rumah Minda Ceria (RM120,000) dan bantuan alat implan ortopedik (RM500,000).

Terdahulu, Aminuddin membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM640 juta, dengan perbelanjaan pembangunan RM150 juta dan defisit sebanyak RM30 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.