Rombak Jemaah Menteri: PM bincang dengan ketua parti

Rombak Jemaah Menteri: PM bincang dengan ketua parti

Anwar Ibrahim berkata meskipun perkara itu prerogatif perdana menteri namun pandangan semua pihak dalam kerajaan diambil kira.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata dalam proses demokrasi pandangan rakan-rakan dalam kerajaan tetap dihormati merujuk beberapa kekosongan Jemaah Menteri.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan ketua parti sebelum mengumumkan senarai nama mengisi kekosongan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Anwar berkata meskipun urusan penyusunan barisan Jemaah Menteri adalah prerogatif perdana menteri, pandangan semua pihak dalam kerajaan tetap diambil kira.

“Biar saya runding. Betul, ia budi bicara atau wewenang perdana menteri untuk mohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, tetapi seperti biasa dalam proses demokrasi, pandangan rakan-rakan tetap dihormati.

“Saya tentunya akan mendengar beberapa pandangan dari ketua-ketua parti tetapi keputusan muktamad saya akan ambil dalam masa terdekat,” katanya menurut Bernama, selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Cyberjaya 10.

Sebelum ini, perdana menteri dilapor akan memutuskan senarai menteri dan timbalan menteri selepas pertimbangan yang cermat, berhemah, dan berlandaskan kepentingan rakyat serta hala tuju reformasi negara.

Anwar turut memberikan bayangan rombakan yang akan diumum tidak melibatkan perubahan besar-besaran, sebaliknya hanya mengisi kekosongan beberapa jawatan menteri.

Menurutnya, pertimbangan semasa menunjukkan tiada keperluan untuk rombakan menyeluruh memandangkan tempoh pentadbiran kerajaan kini hanya berbaki sekitar setahun setengah sebelum berakhir.

Ketika ini, terdapat beberapa kekosongan dalam Jemaah Menteri, antaranya bagi portfolio menteri ekonomi, menteri sumber asli dan kelestarian alam, menteri pembangunan usahawan dan koperasi, serta menteri pelaburan, perdagangan dan industri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.