
Ketua Menteri Hajiji Noor, berkata pentadbirannya mahu menjadikan GLC boleh dipercayai melalui pengurusan kompeten untuk menjana nilai lebih besar.
“Matlamat kita adalah untuk menjadikan GLC sebagai pemangkin ekonomi yang berkesan dan boleh dipercayai melalui pengurusan yang kompeten, demi menjana nilai yang lebih besar kepada rakyat dan negeri,” katanya menurut Bernama.
Katanya, langkah itu satu keperluan pentadbiran untuk mengukuhkan tadbir urus korporat dan akauntabiliti, selain menyuntik kepimpinan baharu bagi meningkatkan prestasi serta memacu pencapaian matlamat Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Hajiji turut menekankan keperluan pasukan kepimpinan yang dinamik, profesional dan berorientasikan hasil untuk mengemudi era baharu dipacu oleh pelaburan strategik, pendigitalan, tenaga baharu, dan pembangunan sosial.
“Kita menghargai sumbangan kepimpinan terdahulu, namun rombakan adalah perlu bagi memastikan transformasi yang berkesan dan kesinambungan.
“Keutamaan kita hanyalah untuk memastikan masa depan Sabah yang stabil, makmur dan terjamin selaras dengan aspirasi SMJ 2.0.”