Terima kasih AGC jadikan perjuangan bela kematian Syamsul berbaloi, kata ibu

Terima kasih AGC jadikan perjuangan bela kematian Syamsul berbaloi, kata ibu

Ummu Haiman Bee Daulatgun juga berterima kasih kepada sumber dikenali 'individu A' yang bantu dapat kebenaran gali semula kubur anaknya bagi bedah siasat kedua.

Syamsul Haris Shamsudin
Jabatan Peguam Negara pada 2 Dis lalu mengarahkan kes kematian Syamsul Haris Shamsudin diklasifikasikan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut polis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana mengklasifikasikan kematian anaknya kes bunuh.

Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata keputusan AGC itu menjadikan pengorbanan beliau, keluarga serta barisan peguam cukup berbaloi dalam merungkai kebenaran dan punca kematian anaknya.

“Penghargaan juga kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman yang dapat membuktikan apa yang saya rasakan ketika melihat jenazah anak sebelum ini ada kebenarannya,” katanya menurut Bernama selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Beliau turut berterima kasih kepada sumber dikenali “individu A” yang membantu mendapatkan kebenaran penggalian semula kubur anaknya bagi bedah siasat kedua.

Ummu Haiman berharap pelaku yang menyebabkan kematian tragis anaknya dibawa ke muka pengadilan untuk hukuman setimpal.

Di sebalik kematian Syamsul, beliau percaya ada jenayah lain berselindung dalam kes itu.

“Sebagai ibu, saya secara peribadi memohon dan merayu sangat-sangat kepada pihak berkuasa ambil tindakan sewajarnya.

“Pandanglah kes anak saya dengan mata, hati dan siasat dengan penuh ketelusan.”

Pada 2 Dis lalu, AGC mengarahkan kes kematian Syamsul yang juga pelatih Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai diklasifikasikan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut polis.

Keputusan itu menyusul taklimat hasil laporan siasatan dibuka polis ke atas kematian Syamsul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.