
Menurutnya, keputusan itu bukan sahaja selaras tuntutan beragama dan juga keberkatan mencari nafkah diri tetapi selari realiti demografi di mana lebih 60% warga Malaysia beragama Islam.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata langkah terbabit juga mencerminkan kefahaman industri terhadap prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam konteks ekonomi moden, dasar inklusif yang menghormati keperluan agama dan budaya pekerja terbukti meningkatkan motivasi, kepuasan kerja serta imej korporat.
“Banyak syarikat global telah bergerak ke arah ‘faith-friendly workplace’, dan langkah AirAsia menempatkan Malaysia seiring dengan perkembangan itu,” katanya dalam kenyataan sambil menyatakan ia wajar menjadi penanda aras kepada semua syarikat penerbangan negara.
Semalam, AirAsia mengumumkan pembaharuan polisi pakaian seragam yang diharapkan dapat dimulakan Ramadan tahun depan.
Kru kabin AirAsia sebelum ini telah menggunakan hijab sebagai sebahagian daripada operasi di beberapa laluan terpilih, seperti Jeddah di mana ia diwajibkan oleh peraturan tempatan.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim turut menekankan supaya pihak industri penerbangan menilai semula penyediaan minuman keras bagi penerbangan domestik
“Selain pertimbangan keselamatan dan risiko gangguan dalam pesawat, negara-negara yang mempunyai norma sosial lebih konservatif telah pun mengehadkan atau menghentikan penyediaannya tanpa menjejaskan daya saing industri.
“Malaysia wajar mempertimbangkan pendekatan serupa, selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kehendak majoriti pengguna tempatan,” katanya.
Namun bulan lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dalam jawapan di Parlimen berkata Malaysia Airlines (MAS) tidak lagi menghidangkan minuman beralkohol untuk penerbangan domestik dan penerbangan antarabangsa dengan perjalanan kurang tiga jam.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar berkata keputusan Air Asia terbabit membawa mesej jelas bahawa profesionalisme dan komitmen terhadap agama boleh berjalan seiring.
“Ia juga memberikan galakan besar kepada lebih ramai wanita muslim untuk menceburi kerjaya penerbangan tanpa rasa terpaksa memilih antara kerjaya dan prinsip hidup mereka, katanya.