Pemilihan Majlis Peguam catat jumlah pengundi paling rendah dalam 5 tahun

Pemilihan Majlis Peguam catat jumlah pengundi paling rendah dalam 5 tahun

Hanya 15% daripada 25,388 kertas undi pos dikeluarkan tahun ini dikembalikan dalam pemilihan yang baru berakhir.

Malaysian Bar AGM
Peguam yang menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Peguam yang berlangsung, Mac lalu.
PETALING JAYA:
Hanya 15% daripada 25,338 kertas undi bagi pemilihan pimpinan Majlis Peguam bagi penggal 2026-2027 dikembalikan, jumlah terendah dalam tempoh lima tahun.

Tahun lalu, peratusan kertas undi pos dikembalikan ialah 22%, pada 2023 (20%), 2022 (24%) dan 2021 (27%).

Menurut keputusan diumumkan Selasa lalu, tujuh peguam berusia lingkungan 30-an antara 16 yang terpilih, Gregory Das iaitu anak kepada bekas presiden Majlis Peguam Cyrus Das memperoleh undi tertinggi dengan 1,531 undi.

Beliau diikuti Azmi Mohd Ali dengan 1,508 undi dan Larissa Ann Louis yang memperoleh 1,475 undi.

Turut terpilih Yasmeen Shariff, R Jayabalan, Abang Iwawan Narawi, Kee Hui Yee, Abhilaash Subramaniam, Murshidah Mustafa, Marisa Regina Aris Rizal, V Kokila Vaani, Collin Arvind Andrew, Farez Jinnah, Jeremiah Rais dan Chai Sim Ann.

Seramai 40 peguam bertanding pada pemilihan kali ini.

Seramai 16 calon teratas akan menyertai 26 lagi wakil dari setiap negeri di Semenanjung untuk memilih presiden, setiausaha dan bendahari baharu Majlis Peguam selepas mesyuarat tahunan pada Mac.

Mengulas sambutan hambar itu, bekas presiden Majlis Peguam Salim Bashir berkata sikap tidak ambil peduli di kalangan peguam di institusi bebas itu perlu ditangani segera.

“Dalam sebuah institusi demokratik yang terdiri daripada ramai peguam yang masih mengamalkan profesion itu, pemilihan Majlis Peguam disifatkan proses penting.

“Namun, institusi ini semakin terancam akibat sikap acuh tak acuh majoriti pengamal untuk mengambil bahagian dan menentukan siapa yang patut memimpin mereka,” katanya kepada FMT.

Salim berkata jumlah undi tinggi penting untuk memberikan legitimasi kukuh kepada majlis supaya ia dapat berfungsi dengan pengiktirafan yang sewajarnya.

Katanya, perkembangan tidak sihat itu menunjukkan badan terbabit perlu menilai semula sistem pengundian bagi menyediakan mekanisme lebih cepat dan berkesan untuk memudahkan ahli mengundi.

“Majlis Peguam boleh meneroka sistem pengundian dalam talian dengan prosedur pilihan raya yang ketat dan adil, sambil mengekalkan kerahsiaan dan audit yang telus.

“Ini dapat mengurangkan kesulitan dan menggalakkan lebih ramai ahli menyertai pemilihan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.