Utama keadilan Beng Hock dalam janji reformasi 6 bulan, DAP diberitahu

Utama keadilan Beng Hock dalam janji reformasi 6 bulan, DAP diberitahu

Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi berkata DAP telah berjanji mendapatkan keadilan untuk mendiang selama lebih sedekad tetapi gagal membuahkan hasil.

personal Teoh Beng Hock
Teoh Beng Hock meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas disoal siasat selama berjam-jam oleh SPRM. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
DAP perlu mengutamakan usaha menuntut keadilan bagi mendiang Teoh Beng Hock dalam komitmennya menyegerakan reformasi kerajaan dalam tempoh enam bulan akan datang, kata Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi

Pengerusinya, Koong Hui Yein, berkata DAP telah berjanji untuk berbuat demikian selama lebih sedekad, termasuk menganjurkan upacara peringatan tahunan untuk bekas pembantu politik itu, namun masih gagal menghasilkan keputusan yang nyata.

“Kegagalan memasukkan kes Teoh dalam agenda reformasinya merupakan satu pengkhianatan terhadap sokongan puluhan ribu rakyat selama ini,” kata Koong dalam satu kenyataan.

Teoh, pembantu kepada bekas Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 setelah jatuh dari tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor, selepas disoal siasat selama beberapa jam oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Siasatan inkues pada awalnya mengembalikan keputusan ‘terbuka’. Namun pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kematiannya disebabkan oleh ‘seorang atau lebih individu tidak dikenali’, termasuk pegawai SPRM.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan polis melengkapkan siasatan mereka yang tertangguh lama terhadap kematian Teoh lebih 15 tahun lalu.

Bagaimanapun, kes itu akhirnya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) pada Mei, mencetuskan desakan supaya menteri-menteri DAP meletakkan jawatan.

Koong berkata membiarkan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai NFA merupakan contoh bagaimana DAP dan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janji mereka untuk membetulkan ketidakadilan.

Beliau mendakwa keputusan itu tidak ada bezanya dengan pengumuman kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2016 bahawa kematian Teoh tidak mempunyai unsur jenayah.

Pada 2 Disember, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata parti itu akan bekerjasama rapat dengan perdana menteri untuk menyegerakan reformasi dalam tempoh enam bulan akan datang, susulan kekalahan teruk DAP dan PH dalam PRN Sabah.

Akhbar Straits Times Singapura sebelum ini memetik sumber yang mengatakan DAP turut membincangkan kemungkinan meninggalkan kerajaan jika reformasi tidak disegerakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.