
Kedua-dua mereka yang berusia 16 dan 17 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri, menurut Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa berusia 17 tahun di asrama sekolah pada 12.04 tengah malam 24 November lalu.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum satu tahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md Nor mengendalikan pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Farah Azlinda Zahari.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh dijamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Disember depan bagi mendapatkan laporan akhlak sebelum keputusan hukuman dibuat.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar lelaki ditemui pengsan dalam tandas asrama sebuah sekolah di sini dipercayai dipukul beramai-ramai.
Mangsa dipercayai dipukul beberapa pelajar di asrama sekolah hingga dia mengalami lebam pada bahagian perut dan memerlukan rawatan di hospital, dalam kejadian 24 November lalu.