
Peguam Jerald Gomez, yang mewakili isteri Koh iaitu Susanna Liew Sow Yoke, berkata Hakim Su Tiang Joo membuat keputusan itu selepas perkara tersebut dipersetujui pihaknya bersama Peguam Kanan Persekutuan Nurul Farhana Khalid yang mewakili kerajaan dan polis.
“Amanah Raya Berhad dilantik sebagai pemegang amanah bagi Koh untuk memegang wang dan faedah sehingga keberadaannya dapat dikenal pasti atau didedahkan,” katanya kepada pemberita selepas prosiding mahkamah berakhir.
Beliau berkata, Amanah Raya Berhad dipilih kerana caj pengurusannya yang rendah dan jaminan untuk memulangkan wang itu kepada kerajaan jika keputusan mahkamah berubah di peringkat rayuan.
Pada 5 Nov lalu, Su mengarahkan kerajaan mendepositkan wang itu ke dalam akaun pemegang amanah sehingga keberadaan Koh dikenal pasti atau didedahkan.
Wang itu membabitkan ganti rugi am sebanyak RM10,000 sehari mulai 13 Feb 2017 hingga status keberadaan Koh didedahkan, ganti rugi RM1 juta dan ganti rugi teladan RM1 juta.
Pada 28 Nov lalus, Liew memohon firma guaman mewakilinya iaitu Tetuan Jerald Gomez & Associates dilantik sebagai pemegang amanah.
Beliau turut mencadangkan dua institusi kewangan iaitu PB Trustee Services Berhad dan Amanah Raya Berhad sebagai alternatif jika mahkamah tidak melantik firma guaman berkenaan.
Liew memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan suaminya serta cara pihak berkuasa menyiasat kes itu.
Koh dilaporkan diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Kelana Jaya pada 13 Feb 2017.