
Harian Metro melaporkan Muhamad Azmie Akid Azama, 27, mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di depan Hakim Zulkpli Abdullah.
Dia didakwa melakukan samun dengan sebilah pedang terhadap remaja 15 tahun di sebuah kedai runcit di Kampung Berangan, Tumpat pada 10.55 malam 2 Sept lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 14 tahun serta denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tindakan tertuduh serius dan menggunakan pedang.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jaminan minimum kerana dia hanya bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan RM50 sehari.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 11 Jan depan.