
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menetapkan tarikh itu selepas pengurusan pra perbicaraan hari ini dan sebanyak 15 saksi dijangka dipanggil sepanjang perbicaraan nanti.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkarnain Rousan Hasbi menyerahkan dokumen dan cakera padat berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan hari ini.
Pihak pembelaan terdiri daripada peguam Edward Paul, Batholomew Jingulam dan Jul Hamri Jumhani.
Pada 30 Jun lepas, Tei dan dua bekas Adun Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di Sabah pada 2023.
Bekas Adun Sindumin, Yusof @ Josree Yacob, bekas Adun Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy dan Tei membuat pengakuan itu selepas pertuduhan berasingan berkaitan kes rasuah itu dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Jason Juga.
Yusof, 69, yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad didakwa atas satu pertuduhan menerima wang suapan RM200,000 daripada Tei sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan prospecting licence untuk cari gali mineral di Sabah, di sebuah hotel, di sini pada 2 petang, 6 Mac 2023.
Andi, 44, yang juga pembantu menteri pembangunan perindustrian dan keusahawanan Sabah serta Ahli Parlimen Kalabakan didakwa menerima wang suapan RM150,000 daripada Tei, 37, sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan prospecting licence untuk cari gali mineral di Sabah, di kediaman Adun itu di sini pada 11 malam, 12 Mei 2023.
Tei didakwa atas dua pertuduhan memberikan wang rasuah masing-masing kepada Yusof dan Andi di lokasi, masa dan tarikh yang sama.