Yayasan Ilham, 5 syarikat dibenar mencelah kes aset London dikaitkan Naimah

Yayasan Ilham, 5 syarikat dibenar mencelah kes aset London dikaitkan Naimah

Mahkamah Tinggi putuskan ada bidang kuasa dengar permohonan syarikat itu cabar permohonan SPRM beku aset bernilai £132 juta.

Naimah Abdul Khalid
SPRM mendakwa Naimah Khalid ada kaitan dengan bangunan komersial di St Mary Axe dan One Crown Court; tiga kediaman mewah di Bryanston Square, Bryanston Mews dan Lancaster Gate di London. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membenarkan Yayasan Ilham dan lima syarikat untuk mencelah dalam permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membekukan aset yang dikaitkan dengan Naimah Khalid di London bernilai £132 juta (kira-kira RM758.2 juta).

SPRM sebelum ini memohon perintah larangan di bawah Seksyen 53(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang melarang sebarang urusan dengan harta yang dikenal pasti.

Hakim Azhar Abdul Hamid memutuskan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk mendengar permohonan tersebut.

Beliau berkata Seksyen 53(2) AMLA 2001 merupakan peruntukan ‘in personam’, kerana perintah larangan itu menghalang individu atau entiti yang dinamakan daripada berurusan dengan harta yang dikenal pasti, dan membenarkan mencelah tidak memprejudiskan pihak pendakwaan.

Pihak-pihak lain yang dibenarkan mencelah ialah Copperfield Investment Holdings Limited, Straits Properties LTD, Newton Assets Global Limited, Splendid International Limited, dan Catalyst Assets Limited.

Aset yang terlibat merangkumi dua bangunan komersial di St Mary Axe dan One Crown Court; tiga kediaman mewah di Bryanston Square, Bryanston Mews dan Lancaster Gate; dua kediaman di Gloucester Place; serta satu akaun CAF Bank Limited (UK) milik Yayasan Ilham.

Peguam G Rajasingam, Sathya Kumardas dan Sharon Jessy mewakili Copperfield Investment Holdings Limited dan Straits Properties LTD, manakala Nizamuddin Hamid, Abraham Au, Syed Afiq Syed Albakri dan Vam Shir Mooi hadir bagi pihak pemohon lain.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan mewakili SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.