TMJ dakwa ada individu dalam Fifa ugut FAM

TMJ dakwa ada individu dalam Fifa ugut FAM

Baginda yang juga pemilik JDT dedah individu itu juga 'akan gantung' FAM andai bawa kes pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan.

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, mendakwa individu itu beri amaran kepada FAM ‘akan buat benda lebih teruk’ jika badan induk bola sepak negara itu membawa ke CAS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Wujud individu tertentu dalam Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak membawa isu dokumentasi tujuh pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), dakwa Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Baginda yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) mendakwa, saranan itu disampaikan individu terbabit kepada Presiden Kehormat FAM Hamidin Mohd Amin.

“Awak boleh tanya Tan Sri Hamidin sendiri, ada pihak daripada Fifa cakap kepada dia jangan bawa benda ini pergi ke CAS. Sangat aneh, saya pun tak tahu kenapa mereka cakap jangan pergi ke CAS.

“Dia bukan tak bagi kita pergi, dia kata kalau boleh jangan pergi. Tetapi dia ada juga ugut, akan gantung, jika nak pergi ke CAS, akan buat benda yang lebih teruk. Kita akan pergi, kalah menang kita tak tahu,” kata Tunku Mahkota Ismail memetik Harian Metro.

Bulan lalu, Fifa mengemukakan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat susulan keputusan jawatankuasa itu pada 3 Nov menolak rayuan FAM dan tujuh pemain berkenaan.

Keputusan itu menyaksikan hukuman denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan ke atas FAM oleh Jawatankuasa Tatatertib Fifa pada September lalu kekal, manakala tujuh pemain warisan digantung 12 bulan serta dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang.

Tujuh pemain itu adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.

Kelmarin, Pemangku Presiden FAM Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya sudah mengemukakan rayuan kepada CAS berhubung hukuman dikenakan badan induk bola sepak dunia melibatkan isu dokumentasi tujuh pemain warisan.

Yusoff memaklumkan CAS menetapkan bahawa pihak peguam yang mewakili FAM mempunyai tempoh 10 hari sehingga 18 Dis untuk mengemukakan hujahan lengkap bertulis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.