Tok Mat gesa agihan adil jawatan politik di N Sembilan

Tok Mat gesa agihan adil jawatan politik di N Sembilan

Pengerusi BN Negeri Sembilan berkata pembahagian jawatan patut dibuat secara adil dan seimbang, seperti diamalkan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan.

mohamad hasan
Pengerusi BN Negeri Sembilan Mohamad Hasan berkata setiap parti komponen dalam kerajaan Negeri Sembilan perlu saling menghormati. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Mohamad Hasan, kecewa dengan pembahagian jawatan politik di negeri itu yang didakwa tidak selaras semangat kerjasama diamalkan di peringkat persekutuan.

Beliau yang lebih dikenali Tok Mat berkata, pembahagian jawatan patut dibuat secara adil dan seimbang, seperti diamalkan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan.

Tegasnya, setiap parti komponen dalam kerajaan Negeri Sembilan perlu saling menghormati dan beliau berharap perkara sama tidak berulang kerana boleh menimbulkan persoalan, khasnya di peringkat akar umbi.

“Saya ingin menegur sedikit, sebagai wakil daripada rakan menubuhkan kerajaan Negeri Sembilan ini, saya kecewa kerana kita berjanji di peringkat persekutuan untuk mengurus negara bersama-sama.

“Negeri Sembilan pun begitu, kita bersama urus negeri dan kita mesti beri sama-sama. Itu sebabnya di peringkat Kabinet, jika Kementerian Pendidikan Tinggi dipegang Pakatan Harapan (PH), portfolio luar bandar pula dipegang BN.

“Tetapi di Negeri Sembilan, keputusan baru-baru ini tidak begitu. Sepatutnya satu untuk kamu, satu untuk saya; satu untuk saya, satu untuk kamu. Ini dua untuk saya, kosong untuk kamu. Tak mahulah begitu,” kata Adun Rantau itu dalam sidang DUN Negeri Sembilan.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu turut membangkitkan isu pembahagian dua jawatan senator baru-baru ini kepada wakil PH.

“Keputusan seperti ini tidak wajar. Saya tidak mahu perkara ini berlaku lagi. Hormatilah rakan kerjasama kita.

“Bukankah lebih baik jika pembahagian jawatan senator itu satu untuk PH dan satu untuk BN?” katanya yang berharap setiap perkara dipersetujui dalam perbincangan bersama kerajaan PH dan BN boleh ditepati.

“Seperti ucapan Yang Amat Berhormat Sikamat (Menteri Besar Aminuddin Harun – PH), labur sama dapat, cicir sama rugi. Tapi ini, labur tak sama dapat. Yang labur seorang saja dapat, yang cicirnya kami.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.