Bertindak tegas terhadap pengurusan bangunan culas, Ahli Parlimen beritahu DBKL

Bertindak tegas terhadap pengurusan bangunan culas, Ahli Parlimen beritahu DBKL

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok bimbang keselamatan ribuan penduduk menghuni bangunan tinggi di seluruh Kuala Lumpur.

condo terbakar mont kiara
Dalam kejadian mengorbankan seorang lelaki, bomba memaklumkan operasi pemadaman di tingkat 26 unit kondominium itu sukar kerana sistem pencegah kebakaran bangunan tidak berfungsi dengan baik.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok menyeru Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan bangunan yang gagal menyelenggara sistem keselamatan kebakaran.

Beliau membuat gesaan itu susulan insiden kebakaran di tingkat 26 sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur yang melibatkan kematian seorang lelaki semalam.

Menurut Bomba Kuala Lumpur, operasi pemadaman berdepan kesukaran kerana sistem pencegah kebakaran bangunan tidak berfungsi dengan baik.

“Situasi ini bukan sahaja merisaukan, malah membimbangkan keselamatan ribuan penduduk yang menghuni bangunan tinggi di seluruh Kuala Lumpur.

“Maka, saya menggesa DBKL supaya mengarahkan pemaju, badan pengurusan bersama (JMB), dan badan pengurusan (MC) mengemukakan laporan status pematuhan dalam tempoh masa tertentu,” kata Kok dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Seputeh itu, berkata bomba perlu menjalankan audit rawak ke atas bangunan berisiko tinggi.

“Program kesedaran dan pendidikan keselamatan kebakaran khususnya untuk komuniti kondominium, pangsapuri, dan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) juga perlu dipertingkatkan.

“Keselamatan kebakaran bukan hanya isu teknikal, tetapi isu kesedaran masyarakat. Tanpa kesedaran dan tanggungjawab bersama, kemudahan keselamatan yang canggih sekalipun tidak dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.