Lelaki ditahan tetak siak surau hingga parah

Lelaki ditahan tetak siak surau hingga parah

Polis berkata suspek yang juga pesakit psikiatri dipercayai tidak puas hati dengan mangsa.

handcuff
Ketua Polis Taiping Mohamad Nasir Ismail berkata suspek memiliki 16 rekod kesalahan lampau dan positif morfin itu ditahan di kawasan Kamunting pada 4.30 petang semalam. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan selepas siak sebuah surau parah ditetak di Kampung Bukit Jana, Kamunting, dekat Taiping, semalam.

Ketua Polis Taiping, Mohamad Nasir Ismail, berkata lelaki berusia 68 tahun itu yang parah diserang dengan parang sedang dirawat di Hospital Taiping.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku semasa mangsa berada di kawasan surau tersebut apabila tiba-tiba telah datang seorang lelaki dikenali berusia 55 tahun dengan membawa sebilah parang lalu menetak mangsa beberapa kali di bahagian kepala dan tangan,” katanya menurut Bernama malam tadi.

Beliau berkata, motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa, selain suspek merupakan pesakit psikiatri dan pernah mendapatkan rawatan di hospital.

Katanya, lelaki mempunyai 16 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan narkotik itu ditahan di kawasan Kamunting pada 4.30 petang semalam.

Menurutnya, saringan ujian air kencing mendapati suspek positif morfin dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.