Bekas presiden Bolivia Luis Arce ditahan kerana rasuah

Bekas presiden Bolivia Luis Arce ditahan kerana rasuah

Luis Arce didakwa membenarkan pemindahan dana daripada perbendaharaan awam ke akaun peribadi pemimpin politik.

Tempoh pemerintahan bekas presiden Bolivia Luis Arce dicemari isu kekurangan kritikal bahan api dan mata wang asing yang mencetuskan banyak protes. (Gambar EPA Images)
LA PAZ:
Bekas presiden Bolivia, Luis Arce ditahan di sini pada Rabu dalam sebahagian siasatan terhadap dakwaan rasuah ketika beliau menjadi menteri ekonomi, menurut kerajaan.

Arce, 62, tidak bertanding semula dalam pilihan raya Ogos lalu yang menamatkan dua dekad pemerintahan berhaluan kiri di Bolivia. Tempoh pemerintahannya dicemari isu kekurangan kritikal bahan api dan mata wang asing yang mencetuskan banyak protes.

Siasatan rasuah itu bermula ketika Arce menjadi menteri ekonomi di bawah Presiden sosialis ketika itu, Evo Morales dari 2006 hingga 2019.

Arce didakwa membenarkan pemindahan dana daripada perbendaharaan awam ke akaun peribadi pemimpin politik.

Antara individu didakwa menerima dana itu ialah bekas Ahli Parlimen berhaluan kiri, Lidia Patty, yang ditahan dalam kes sama minggu lalu atas dakwaan menerima hampir USD100,000 untuk projek penanaman tomato.

Sumber di pejabat pendakwa raya memberitahu AFP, Arce perlu menjawab pertuduhan kecuaian tugas dan “salah laku ekonomi”.

Naib Presiden, Edmand Lara, pada Rabu berikrar “setiap individu yang mencuri daripada negara ini akan memulangkan setiap sen dicuri mereka”.

Di bawah undang-undang Bolivia, ahli cabang eksekutif yang akan berundur tidak dibenarkan keluar negara selama 90 hari selepas pertukaran kerajaan.

Dalam minggu pertamanya memegang jawatan bulan lalu, Presiden konservatif pro-perniagaan, Rodrigo Paz, mendakwa menemui banyak salah laku rasuah yang dilakukan kerajaan berhaluan kiri terdahulu.

Ketika audit terhadap syarikat milik kerajaan dijalankan, enam bekas eksekutif syarikat minyak negara, YPFB ditahan atas tuduhan rasuah minggu ini.

Seorang bekas rakan sekerja, Maria Nela Prada, berkata Arce ditahan di ibu negara dan dibawa ke pejabat polis menaiki sebuah minibus bertingkap gelap.

Katanya, penahanan itu mengejutkan dan Arce “tidak mendapat sebarang bentuk pemberitahuan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.