Kes tembak dalam kereta, polis tahan 2 suspek

Kes tembak dalam kereta, polis tahan 2 suspek

Polis turut merampas sepucuk pistol daripada suspek yang disyaki digunakan dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Port Dickson semalam.

Azahar Abdul Rahim
Ketua Polis Seremban Azahar Abdul Rahim berkata permohonan reman terhadap suspek dibuat pagi tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971). (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes tembak berhampiran Plaza Tol Port Dickson semalam, dalam tempoh kurang 12 jam selepas kejadian.

Ketua Polis Seremban, Azahar Abdul Rahim, berkata kedua-dua suspek ditahan di sebuah rumah di sekitar daerah terbabit kira-kira 2 pagi tadi.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya turut merampas senjata api iaitu sepucuk pistol daripada suspek yang disyaki digunakan dalam kejadian berkenaan.

“Susulan kes tembak yang menyebabkan seorang mangsa meninggal dunia semalam, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Seremban menjalankan siasatan dan berjaya mengesan suspek.

“Dua lelaki yang berusia 40-an dipercayai terbabit dalam kes ini ditahan di kawasan Seremban, awal pagi tadi,” katanya, menurut Berita Harian.

Media semalam melaporkan, seorang daripada mangsa meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Manakala seorang lagi mangsa yang parah masih kritikal dan sedang dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar.

Kedua-duanya sebelum itu dipercayai ditembak dalam di dalam sebuah Perodua Myvi sebelum dikejarkan ke hospital oleh orang awam.

Sementara itu, mengenai motif kejadian, Azahar berkata, berdasarkan siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada dendam.

Katanya, semakan mendapati mangsa yang parah itu adalah seorang suspek kes tetak di sebuah pasar raya di daerah ini pada April lalu.

“Buat masa ini pihak kami masih lagi menjalankan siasatan sama ada kes ini berkaitan dengan pertubuhan atau kongsi gelap.

“Maklumat lanjut akan dimaklumkan sekiranya siasatan mengesan kaitan gangsterisme,” katanya.

Tambahnya, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dibuat pagi tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.